Isnin, 26 September 2011

IPOH - Orang ramai berpeluang menyaksikan Keris Laksamana Hang Tuah, Taming Sari yang akan dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Ku

Orang ramai berpeluang menyaksikan Keris Laksamana Hang Tuah, Taming Sari yang akan dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar mulai Ahad ini hingga 5 Jun depan.

Jurucakap Muzium Negeri Perak berkata, pameran itu diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak ke-83 tahun ini.

"Baginda memberi perkenan supaya keris Taming Sari dipamerkan di galeri pada tarikh tersebut bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Keris Taming Sari digunakan sebagai salah satu alat kebesaran Diraja Perak dan keseluruhan sarung keris diselaputi dedaun emas.

Ia merupakan keris kerajaan bagi jawatan Laksamana Melaka yang akhir sekali dijawat Hang Tuah.

Ketika Sultan Mahmud meninggalkan Melaka, baginda membawa keris itu ke Kampar-Sumatera sebelum diberi kepada anakanda baginda, Raja Mudzaffar Shah yang kemudiannya berangkat ke Perak

Mandi keris tarik pengunjung

MELAKA 24 Sept. – Orang ramai yang berkunjung ke Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, Banda Hilir di sini hari ini berpeluang menyaksikan upacara mandi keris sempena Festival Hang Tuah yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta Perbadanan Muzium Melaka.

Pertunjukan anjuran Persatuan Seni Silat Langkah Bromo itu menampilkan 40 bilah keris dari seluruh negara termasuk Indonesia.

Pengasas persatuan silat tersebut, Fahruz Ridza Jaafar, 34, berkata, upacara mandi keris itu bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai tentang amalan mencuci keris sebagai salah satu tradisi masyarakat Melayu yang masih diamalkan sehingga ke hari ini.

“Selain itu, upacara ini juga memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat koleksi 40 bilah keris yang ada, antaranya mencecah usia 500 tahun,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya, antara keris yang mencuri tumpuan ialah Keris Naga Sostro berusia lebih 500 tahun bernilai RM25,000 yang berasal dari Banyuwangi, Jawa Timur, Indonesia.

Taming Sari diuji lelaki Jawa

JIKA tidak dipamerkan, keris Taming Sari hanya boleh dijaga oleh Sultan Perak atau Tok Nara Diraja.


DALAM sejarah ketamadunan Melayu, pendapat umum sepakat mengatakan tiada keris lebih terkenal dan teragung selain keris Taming Sari.

Kisah keris yang digambarkan penuh sakti hingga menjadikan pemiliknya tidak lut ditujah senjata tajam itu seiring dengan legenda pendekar Melayu terulung, Hang Tuah.

Mengambil nama sempena pemilik asalnya, seorang pahlawan Jawa dalam kerajaan Majapahit, fungsi asal Taming Sari adalah sebagai keris kerajaan bagi jawatan Laksamana semasa Kesultanan Melayu Melaka.

Sebagaimana misterinya kehilangan Hang Tuah selepas dia gagal meminang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Melaka, begitu juga riwayat keris Taming Sari selepas era pendekar Melayu itu.

Pelbagai versi mengenai Taming Sari diperturunkan secara lisan dan yang paling terkenal ialah keris sakti berkenaan telah dicampak Hang Tuah ke dalam Sungai Duyung di Melaka.

Namun, mitos tidak semestinya selari dengan realiti. Kenyataannya, keris Taming Sari yang dipercayai berusia lebih 500 tahun itu telah menjadi sebahagian daripada alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak sejak tahun 1528 lagi.

Pengarah Muzium Perak, Nor Janati Ibrahim berkata, mengikut sejarah, episod kegagalan meminang Puteri Gunung Ledang telah menjatuhkan air muka Hang Tuah lantas beliau menyerahkan Taming Sari kepada Tun Mamat untuk dibawa balik menghadap Sultan Mahmud Shah.

Setelah empayar Melaka runtuh ditawan Portugis pada tahun 1511, keris keramat itu turut dibawa bersama rombongan Sultan Mahmud yang berundur ke Kampar, Sumatera.

“Kemudian atas pemintaan pembesar Perak diketuai Tun Saban, baginda mengirimkan anakandanya, Raja Muzaffar Shah untuk berangkat ke Perak bagi mengasaskan kesultanan Melayu di negeri itu.

Keris kuasa

“Baginda turut mengurniakan beberapa peralatan termasuk keris Taming Sari untuk dijadikan alat kebesaran negeri Perak yang baru ditubuhkan itu,” jelas Janati kepada Jurnal ketika ditemui pada Pameran Taming Sari di Galeri Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak minggu ini.

Ditebak dengan versi yang mengatakan Taming Sari masih terbenam di dasar Sungai Duyung, Janati berpendapat dakwaan itu sekadar legenda.

Katanya lagi, seperti pembikinan sebuah filem, penceritaan kisah lisan dan hikayat tidak semestinya selari dengan fakta sebenar malah boleh ditokok tambah.

“Kajian Muzium Perak mendapati keris Taming Sari yang menjadi alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak menepati ciri-ciri termasuk gambar rajah yang terdapat pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.

“Manuskrip terbabit turut mengandungi zikir dan amalan perang yang diamalkan Tariqat al-Shazilliah yang berkembang sekitar abad berkenaan,” ujarnya.

Pengurus Pameran Taming Sari itu berkata, Taming Sari merupakan keris kuasa atau bawar yang menjadi lambang kedaulatan Kesultanan Melayu Perak.

Sehubungan itu, keris terbabit disimpan rapi bersama 26 alat kebesaran Perak lain di dalam sebuah peti besi khas di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Seingat beliau, cuma empat kali keris Taming Sari dipamerkan kepada khalayak atas perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah termasuk yang terbaru selama seminggu sehingga hari ini.


KERIS Taming Sari menjadi tumpuan golongan muda yang mengikuti kisah legenda Hang Tuah.


Bersilat

“Penganjuran pameran ini bukan bertujuan untuk membuktikan ketulenan keris Taming Sari kerana tiada keperluan untuk itu.

“Ia lebih kepada untuk memberi ruang kepada rakyat menyaksikan sendiri keris kuasa terbabit yang begitu eksklusif sebelum ini sempena ulang tahun sambutan keputeraan baginda,” jelasnya.

Penganjuran Pameran Taming Sari kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai kaum. Dianggarkan lebih 7,000 orang melawat Galeri Sultan Azlan Shah bagi melihat keris terbabit.

Panglima Perang Kiri Istana Perak, Muhammad Dzulkanain Osman pula berkata, ada pantang larang yang perlu dipatuhi sepanjang Pameran Taming Sari di galeri berkenaan.

Menurutnya, keris keramat itu tidak dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri terbabit bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.

Dikatakan, keris Seri Gading yang juga salah satu alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak itu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.

“Sepanjang penganjuran pameran kali ini, pernah sekali berlaku kejadian lima lelaki dewasa tiba-tiba bersilat serentak di hadapan ruang Pameran Taming Sari.

“Saya percaya tindakan mistik itu berpunca daripada perbuatan mereka menggunakan ilmu untuk ‘menguji’ kekuatan Taming Sari namun tertewas,” ujar beliau yang merupakan antara pegawai Istana Perak yang bertugas memantau perjalanan pameran terbabit.

Kejadian selama beberapa minit pada petang Selasa lalu itu menggemparkan pengunjung yang berada di dalam galeri itu.

Menurut Janati pula, kelima-lima lelaki dipercayai keturunan Jawa terbabit ditenangkan oleh seorang rakan mereka sebelum masing-masing segera angkat kaki dari premis terbabit.

Selain itu, keris Taming Sari dan Seri Gading tidak disimpan di dalam galeri selepas waktu lawatan yang berakhir pukul 5 petang.

Sebaliknya, kedua-dua keris kebesaran Perak tersebut dibawa pulang oleh Tok Nara Diraja yang bertugas sebagai Ketua Istiadat dan Penyimpan Alat Kebesaran Perak ke Istana Iskadariah yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

Pegawai istana terbabit juga yang bertanggungjawab mengeluarkan Taming Sari dan Seri Gading dari simpanan untuk dipamerkan ke dalam Galeri Sultan Azlan Shah pada 10 pagi sepanjang tempoh tersebut.

“Sewaktu kedua-dua proses tersebut berlangsung, kenderaan yang membawa bekas khas kedua-dua keris itu akan diiringi oleh beberapa kereta peronda polis bagi menjamin keselamatannya,” jelas Janati.

Biarpun tidak mengiyakan mahupun menidakkan dakwaan Taming Sari mampu menjadikan pemiliknya kebal, Dzulkanain menjelaskan bukan calang-calang individu mampu menyentuhnya.

Selain Sultan Azlan sebagai pemilik mutlak, keris itu hanya ‘tunduk’ di bawah jagaan Tok Nara Diraja.

Katanya, walaupun Taming Sari sudah lama tidak diasap dan dilimau, ada zikir khusus dibaca Tok Nara Diraja sebelum memegangnya.

1,000 bilah keris Zul Purba

KEMAHIRAN Zulkifli Wahab, 48, menghasilkan keris terbukti apabila dia tidak pernah putus pelanggan sejak terlibat dalam pertukangan itu lebih sedekad lalu. Jika dilihat keris-keris yang dihasilkan, tiada siapa menyangka yang empunya diri merupakan seorang yang kelainan upaya (OKU).

Justeru, kecekalan Zulkifli dari Kampung Pengkalan Batu, Mersing, Johor mencari rezeki tanpa mengharapkan bantuan orang lain bukan sahaja dipuji malah, dikagumi ramai. Bagi Zulkifli sendiri, kekurangan tersebut tidak pernah membuat dia berputus asa, sebaliknya menaikkan semangatnya untuk terus bekerja bagi mencari sesuap nasi.

Tidak hairanlah, setelah lebih 12 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan, dia yang juga dikenali sebagai Zul Purba telah berjaya menyiapkan lebih 1,000 bilah keris.

“Mula-mula menceburi bidang ini, saya agak kekok kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi dan ketelitian untuk menghasilkan sebilah keris. Bagaimanapun, saya tidak mudah berputus asa dan akhirnya pengorbanan saya berbaloi apabila kerja-kerja ini telah menjadi kebiasaan sekali gus ia menjadi lebih mudah pada hari ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mempelajari ilmu dan kemahiran tersebut daripada seorang pembuat keris, kongsi Zulkifli membuat sebilah keris adakalanya memakan masa sehingga sebulan kerana memerlukan ketelitian untuk menggabungkan tujuh sehingga lapan jenis besi selain kemahiran mengukir.

Selain itu katanya yang mengalami kecacatan di kaki selepas terlibat dalam satu kemalangan, pembuatan keris juga bergantung kepada permintaan pelanggan yang inginkan saiz dan bentuk hulu tertentu.

“Saya turut membuat pelbagai jeAnis hulu keris, antaranya Hulu Jawa Deman yang reka bentuknya berasal dari Indonesia. Tidak ketinggalan Kake Pusaka dari Terengganu, Gajah Mina dan lain-lain lain. Yang pasti, semua bentuk hulu yang direka mempunyai maksud tersendiri,” katanya.

Selain itu, bagi membuat hulu dan sarung keris, beberapa jenis kayu digunakan seperti leban tanduk, macang hutan, kayu boin dan kemuning yang diperoleh daripada pembekal kayu dari daerah lain.

“Seni membuat keris tidak semudah yang disangka kerana terpaksa menggabungkan besi, membentuk alur dan luk keris serta mengikut bentuk yang diinginkan pelanggan,” katanya.

Dia turut memberitahu, keris yang sering mendapat tempahan ialah keris Malela, Anak Alang, Pandai Sarah, Pandai Mamat, Pukal dan Bugis.

ZULKIFLI sedang menempa besi untuk dibentuk menjadi keris di bengkelnya di Kampung Pengkalan Batu.

Selain membuat keris bersama sarung, Zulkifli juga arif dalam membuat pisau seperti pisau daging, pisau lapah dan pisau sembelih serta parang.

Sedia berkongsi ilmu yang dimiliki, Zulkifli menjemput sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajarinya memandangkan keris adalah warisan yang perlu diketahui generasi akan datang.

“Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan ilmu membuat keris datanglah dan tiada bayaran dikenakan. Cuma memerlukan minat sahaja kerana inilah warisan yang ditinggalkan panglima kita sebagai senjata dan lambang kekuatan anak Melayu,” katanya mengakhiri perbualan.

Bagi sesiapa yang berminat menempah atau belajar membuat keris, Zulkifli boleh ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Batu, Mersing

Khamis, 8 September 2011

Keris baru vs Keris lama

Dalam membuat pemilihan tentang keris, ramai yang akan bertanya keris lama ke keris baru? sebenarnya kita juga harus membuat pemilihan berdasarkan kualiti keris tersebut bukan sekadar berdasarkan keantikannya, kerana ada sahabat yang membeli keris dengan harga yang mahal tapi akhirnya sekadar menjadi besi buruk...

Ahad, 3 April 2011

Pembuat Keris



Terdapat pelbagai jenis keris yang pernah menjadi senjata utama pada zaman dahulu. Ada yang buatan tempatan dan luar negara seperti Bali, Bajen, Picit, Sumatera, Madura, Pattani, Bugis dan Jawa. Setiapnya mempunyai keunikan tersendiri terutama dari segi bilahnya. Di Semenanjung Malaysia, jenis keris boleh diperlihatkan melalui tiga jenis mata bilahnya.

Abdul Mazin Abdul Jamil, 60, pembuat keris tunggal di Kuala Kangsar berkata, tiga jenis keris utama tersebut ialah anak alang (mata bilah panjang tegak), lok (mata bilah berlekuk-lekuk) dan hukum (mata bilah sepanjang 50 sentimeter).

Dia yang mula berkecimpung dengan pembuatan keris sewaktu berusia 12 tahun, pada awalnya mempelajari seni warisan zaman-berzaman itu daripada datuknya yang kemudian diperturunkan kepada ayahnya, Abdul Jamil Pandak Mat Yunos.

Kini, dia yang turut menghasilkan golok dan parang di Bengkel Pandai Besi di rumahnya iaitu di Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan, meraih pendapatan melalui hasil pengkomersialan keris buatannya itu.

Menurutnya, harga sebilah keris yang paling mahal pernah dihasilkan mencecah sehingga RM6,000, namun ia bergantung kepada saiz dan kualiti serta bahan asas pembuatannya.

Bapa kepada 12 anak yang berkecimpung sepenuh masa dalam pembuatan keris ini mendapat tempahan daripada istana, individu-individu termasuk dari luar negara seperti New Zealand, Amerika Syarikat (US), United Kingdom (UK) dan Jepun.

Menceritakan tentang pembuatannya, Abdul Mazin berkata, sebilah keris paling cepat dapat disiapkan dalam tempoh tiga minggu sementara yang berkualiti tinggi boleh mengambil masa selama dua bulan.

“Bahan asas untuk membuat keris adalah besi waja, besi tawar, besi melela yang diikat kemas sebelum dibakar untuk dimampatkan menjadi satu kepingan logam aloi.

“Namun, dari segi petua pula, ia perlu dicampur dengan tujuh jenis besi yang namanya berpangkal dengan huruf ‘P’ iaitu besi paku, payung, pagar, pahat, puting, pisau dan pencebok,” katanya.

Dia berkata, setiap besi tersebut mempunyai maknanya tersendiri, misalnya, besi paku adalah untuk mempertahankan diri sementara besi pagar bertujuan menjaga keselamatan si pemiliknya.

Malah katanya, setiap keris mempunyai maksud yang boleh ditafsir dari segi pertukangan bermula dari hulu sehingga ke bilahnya.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai teknik pembuatannya, katanya, mata keris akan mula terbentuk apabila besi dibakar dan diketuk secara bertalu-talu sebelum dipotong dan dipanaskan semula berulang-ulang kali.

Dia berkata, apabila mata keris telah terbentuk nyata, ia akan dibakar sekali lagi dan seterusnya ditempa secara miring sehingga bentuknya membengkok ke bawah.

“Mata keris yang telah bengkok tadi seterusnya dipalingkan ke arah bertentangan dan ditempa lagi sama seperti kaedah sebelumnya. Cuma bezanya, kedudukan ia dianjak sedikit ke atas bilah secara berselang-seli sehingga ke hujungnya,” katanya.

Dari segi alatan pembuatan, dapur arang digunakan untuk melebur campuran besi selain andas digunakan sebagai tempat untuk mengetuk dan menempa besi panas.

Selain itu, musang yang juga dikenali sebagai kelubung di Perak, merupakan alat penting dalam kerja pertukangan besi di mana ia berfungsi menghembuskan angin yang terperangkap masuk ke dalam saluran dapur untuk menempa besi.

Ragum besar pula digunakan sebagai pengapit mata dan hulu keris bagi tujuan memudahkan kerja-kerja membentuk bilahnya.

Untuk pembuatan hulu keris pula, kayu terpilih seperti kemuning, surian, sena serta petai belalang digunakan kerana dipercayai lebih tahan lama selain ia mampu menyimpan ‘keserian’ keris tersebut walaupun sudah lama disimpan.

Abdul Mazin mengakui mempunyai pantang-larang tertentu dalam pembuatan keris kini menurunkan seni itu kepada dua anaknya iaitu Saiful Hazrin, 23, dan Mohd. Hafiz, 25, yang menunjukkan minat untuk mewarisinya.

Malah, dia tidak lokek untuk berkongsi pengetahuannya itu bersama mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang datang ke rumahnya untuk menjalani praktikal selama tiga bulan.

Dalam pada itu, katanya, keris dan golok mempunyai perbezaan tersendiri bukan sahaja dari segi bentuknya, tetapi juga bahan asasnya kerana golok hanya diperbuat daripada sejenis besi sahaja.

Dia berkata, terdapat tujuh jenis golok iaitu golok perak daun buluh, gedubang, penuh, lampam, jawi pekan, rembau dan tumbuk lada.

“Panjang golok biasanya tidak melebihi 50 sentimeter dan yang paling kerap digunakan dalam kerja-kerja seharian ialah golok perak penuh,” katanya.

Sementara itu, katanya juga, orang ramai turut mula melupakan tujuh jenis kepelbagaian jenis parang yang dihasilkan pada zaman dahulu.

Menurutnya, tujuh jenis parang itu ialah parang buaya berenang, radin, sundek, tengkuk biawak, beletong, bangkung, dan candung.

Tukang Keris



Sebut sahaja Taming Sari pastinya terlintas di fikiran tentang kehebatan keris yang dikatakan milik pahlawan Melayu dahulu kala, Hang Tuah.

Kehebatan keris itu sehingga kini masih menjadi sebutan selain membuktikan warisan atau lambang keberanian dan perjuangan masyarakat Melayu yang telah wujud sejak berzaman.

Namun tidak ramai yang memiliki kemahiran menghasilkan senjata lama seperti itu memandangkan ia memerlukan kepakaran serta kesabaran yang tinggi.

Bagi mereka yang meminati senjata ini pastinya tempoh menghasilkan sebilah keris bukanlah halangan namun apa yang penting ialah kepuasan yang dinikmati apabila dapat melihat hasil kerja seni itu siap.

Utusan Malaysia baru-baru ini berkesempatan menemui seorang pembuat keris, Azhar Abu Bakar yang telah berkecimpung selama 40 tahun dalam bidang pembuatan keris ini.

Menurutnya, dia mula mengenali tentang senjata warisan ini daripada bapanya yang juga merupakan seorang pembuat keris.

Katanya, walaupun mempunyai adik-beradik lelaki yang lain, namun hanya dia sahaja yang berminat membuat keris.

"Sejak kecil saya telah didedahkan dengan pembuatan keris ini yang dilakukan secara tradisional sehingga kini memandangkan ayah saya merupakan pembuat keris sepenuh masa.

"Memang ia bukan satu kerja yang mudah namun apabila kita minat semuanya amat menyeronokkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pasir Panjang di sini hari ini.

Jelasnya, sehingga kini, dia telah menghasilkan lebih 1,000 bilah keris pelbagai bentuk dan paling mahal yang pernah dijual ialah berharga RM30,000 yang dibeli oleh seorang individu beberapa tahun lalu.

Tambah Azhar, walaupun keris jarang mendapat sambutan namun dia amat berpuas hati dapat menghasilkan senjata itu.

"Bagi menghasilkan sebilah keris, saya memerlukan masa antara lima hingga tujuh hari bagi saiz yang biasa dan setiap bulan biasanya saya dapat siapkan enam hingga tujuh bilah.

"Namun jangka masa paling lama yang saya pernah ambil ialah selama enam bulan untuk menyiapkan keris sepanjang 1.5 meter yang bernilai RM40,000," jelasnya.

Ditanya tentang cabaran untuk menyiapkan sebilah keris, ujar lelaki ini, dia perlu mendapatkan besi yang baik serta mempunyai pamor atau jalur yang cantik bagi memberi nilai kepada sesebuah keris yang dihasilkan.

Selain itu ujarnya, jenis kayu untuk dijadikan hulu dan sarung keris juga amat perlu dititikberatkan agar keris yang dihasilkan dapat memukau pandangan.

Tambah Azhar, biasanya, kayu yang digunakan ialah dari pokok leban, sena dan kemuning.

"Biasanya kayu jenis itu sukar diperolehi selain harganya juga amat mahal," jelasnya.

Melihatkan cara untuk membuat sesebilah keris amat menyukarkan namun bagi Azhar, membuat keris merupakan pekerjaan keluarganya sejak lima keturunan lalu.

Bapa Azhar, Abu Bakar Mohd. Mim, 78, pula berkata, walaupun dia tidak sekuat dahulu namun dia dan anaknya tidak pernah terfikir untuk berhenti daripada pekerjaan turun-temurun itu.

Jelasnya, dia mula belajar membuat keris sejak usianya 16 tahun daripada datuknya dan kini dia berharap kerja itu dapat diwariskan kepada ahli keluarga yang lain.

"Generasi baru pada masa kini memang tidak gemar melakukan kerja ini kerana ia amat sukar tambahan pula memerlukan minat yang tinggi, jika tidak kualiti yang dihasilkan tidak menarik," jelasnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...