Ahad, 3 April 2011

Tukang Keris



Sebut sahaja Taming Sari pastinya terlintas di fikiran tentang kehebatan keris yang dikatakan milik pahlawan Melayu dahulu kala, Hang Tuah.

Kehebatan keris itu sehingga kini masih menjadi sebutan selain membuktikan warisan atau lambang keberanian dan perjuangan masyarakat Melayu yang telah wujud sejak berzaman.

Namun tidak ramai yang memiliki kemahiran menghasilkan senjata lama seperti itu memandangkan ia memerlukan kepakaran serta kesabaran yang tinggi.

Bagi mereka yang meminati senjata ini pastinya tempoh menghasilkan sebilah keris bukanlah halangan namun apa yang penting ialah kepuasan yang dinikmati apabila dapat melihat hasil kerja seni itu siap.

Utusan Malaysia baru-baru ini berkesempatan menemui seorang pembuat keris, Azhar Abu Bakar yang telah berkecimpung selama 40 tahun dalam bidang pembuatan keris ini.

Menurutnya, dia mula mengenali tentang senjata warisan ini daripada bapanya yang juga merupakan seorang pembuat keris.

Katanya, walaupun mempunyai adik-beradik lelaki yang lain, namun hanya dia sahaja yang berminat membuat keris.

"Sejak kecil saya telah didedahkan dengan pembuatan keris ini yang dilakukan secara tradisional sehingga kini memandangkan ayah saya merupakan pembuat keris sepenuh masa.

"Memang ia bukan satu kerja yang mudah namun apabila kita minat semuanya amat menyeronokkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pasir Panjang di sini hari ini.

Jelasnya, sehingga kini, dia telah menghasilkan lebih 1,000 bilah keris pelbagai bentuk dan paling mahal yang pernah dijual ialah berharga RM30,000 yang dibeli oleh seorang individu beberapa tahun lalu.

Tambah Azhar, walaupun keris jarang mendapat sambutan namun dia amat berpuas hati dapat menghasilkan senjata itu.

"Bagi menghasilkan sebilah keris, saya memerlukan masa antara lima hingga tujuh hari bagi saiz yang biasa dan setiap bulan biasanya saya dapat siapkan enam hingga tujuh bilah.

"Namun jangka masa paling lama yang saya pernah ambil ialah selama enam bulan untuk menyiapkan keris sepanjang 1.5 meter yang bernilai RM40,000," jelasnya.

Ditanya tentang cabaran untuk menyiapkan sebilah keris, ujar lelaki ini, dia perlu mendapatkan besi yang baik serta mempunyai pamor atau jalur yang cantik bagi memberi nilai kepada sesebuah keris yang dihasilkan.

Selain itu ujarnya, jenis kayu untuk dijadikan hulu dan sarung keris juga amat perlu dititikberatkan agar keris yang dihasilkan dapat memukau pandangan.

Tambah Azhar, biasanya, kayu yang digunakan ialah dari pokok leban, sena dan kemuning.

"Biasanya kayu jenis itu sukar diperolehi selain harganya juga amat mahal," jelasnya.

Melihatkan cara untuk membuat sesebilah keris amat menyukarkan namun bagi Azhar, membuat keris merupakan pekerjaan keluarganya sejak lima keturunan lalu.

Bapa Azhar, Abu Bakar Mohd. Mim, 78, pula berkata, walaupun dia tidak sekuat dahulu namun dia dan anaknya tidak pernah terfikir untuk berhenti daripada pekerjaan turun-temurun itu.

Jelasnya, dia mula belajar membuat keris sejak usianya 16 tahun daripada datuknya dan kini dia berharap kerja itu dapat diwariskan kepada ahli keluarga yang lain.

"Generasi baru pada masa kini memang tidak gemar melakukan kerja ini kerana ia amat sukar tambahan pula memerlukan minat yang tinggi, jika tidak kualiti yang dihasilkan tidak menarik," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...